26 APRIL: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini melancarkan sistem perkhidmatan JPN eServives bagi memudahkan rakyat di Malaysia menjalankan pelbagai urusan rasmi berkaitan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) secara atas talian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, menerusi sistem itu, individu yang ingin memohon dokumen seperti pendaftaran kelahiran, cabutan rekod kelahiran, kad pengenalan 12 tahun, permohonan cabutan rekod kad pengenalan dan permohonan pendaftaran perkahwinan, tidak perlu hadir ke pejabat JPN.
Katanya, walaupun urusan terbabit dilaksanakan secara atas talian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa keselamatan maklumat peribadi dan data sensitif pengguna berada pada tahap tinggi.
“Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk memanfaatkan sistem ini kerana inisiatif yang baik bagi mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah lebih efisien dan mesra pengguna
“Malah, sejak Mac 2021, sebanyak 41,816 individu sudah menggunakan sistem ini dan kerajaan juga bersedia menambah baik perkhidmatan terbabit dari semasa ke semasa, bertujuan memastikannya berfungsi dengan lebih baik,” katanya pada Pelancaran JPN eServices secara maya di Facebook rasminya, hari ini
Hamzah berkata, KDN yakin dan percaya sistem JPN eServices dapat menambahbaik perkhidmatan jabatan berkenaan, seiring kemajuan teknologi terkini.
“Ini membuktikan sistem penyampaian JPN sudah dipertingkatkan ke suatu tahap yang boleh dibanggakan.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga JPN yang terbabit dalam membangunkan sistem ini,” katanya.
Pada masa sama, Hamzah berkata, selain mendaftarkan peristiwa penting bagi setiap individu di negara ini, seperti maklumat kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan dan perceraian, JPN dipertanggungjawabkan untuk menentukan taraf kewarganegaraan.
“JPN juga bertanggungjawab mengeluarkan dokumen identiti dalam bentuk kad pengenalan kepada mereka yang benar-benar layak mengikut lunas perundangan negara.
“Dalam hal ini, KDN melalui JPN bertanggungjawab untuk memastikan setiap individu yang tinggal di dalam negara mempunyai dokumen identiti sah,” katanya.- Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN