Langkah tepat adakan pemilihan parti UMNO
26 APRIL: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk mengadakan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti pada tahun ini adalah satu langkah yang tepat.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa, berkata langkah tersebut dapat menggelakkan wujud polimik baharu dalam parti itu.
“Ini adalah masa terbaik untuk berfikir dan cari jalan memperbetulkan kekusutan. Imej dan persepsi rakyat terhadap parti perlu segera diperbaiki dan solidariti perlu dibina kembali.
“Tentang pemilihan parti, adalah elok untuk dapatkan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) seperti diputuskan. Ini meletakkan UMNO dalam kesiapsiagaan dan ROS pula tidak perlu menunggu surat rasmi kerana kenyataan akhbar rasmi oleh SUA (Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan) adalah jelas. ROS perlu beri arahannya secara bertulis minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, mengenai SOP mesyuarat dan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh membantu.
“Saya percaya segalanya bergerak ke arah lebih baik. Semoga UMNO terus diperkasa. Syabas kepada semua ahli MKT UMNO,” katanya lagi.
Media semalam melaporkan MKT UMNO memutuskan untuk menghantar surat kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam meminta pandangan dan garis panduan untuk UMNO menjalankan pemilihan parti itu tahun ini.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan semangat musyawarah bagi memperjuang agenda rakyat dan parti.
Tambahnya, mesyuarat MKT UMNO malam tadi turut memutuskan menggesa agar Parlimen dan Dewan Undang Negeri (DUN) dibuka terlebih dahulu supaya demokrasi boleh dikembalikan ke tempat asalnya.
“UMNO percaya selagi demokrasi berparlimen tergendala, selagi prinsip akauntabiliti dikesampingkan, selagi itulah pelabur menjauhi, selagi itulah ekonomi hambar, akibat pembuatan dasar negara tidak terurus seperti sediakala.
“Sebarang ketetapan berkenaan kelangsungan pembabitan UMNO dalam Kerajaan PN pula akan diputuskan atas semangat musyawarah.
“Apabila keputusan itu diambil, MKT yakin bahawa semua ahli parti termasuk yang menjadi anggota Kerajaan hari ini akan mematuhinya, sekali gus mempamerkan kesatuan tindakan dalam parti,” katanya.- Oleh HAIKA KHAZI