26 APRIL: Ibi bapa yang tidak menghantar anak ke sekolah ketika ini kerana bimbang dijangkiti COVID-19 perlu memaklumkan tindakan itu secara rasmi kepada pihak sekolah untuk mengelakkan sebarang isu atau permasalahan di kemudian hari.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata tindakan ibu bapa itu juga perlu disusuli perancangan sistematik bagaimana untuk memastikan anak mereka tetap menjalani pembelajaran di rumah.
“Ibu bapa perlu menyediakan kemudahan pendidikan alternatif, terutama melalui pengajaran dan pembelajaran (PdPR) dan siaran televisyen.
“Mereka juga perlu memastikan anak dapat ‘mengejar semula’ silibus tertinggal atau tidak dipelajari secara bersemuka di sekolah,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Ditanya keputusan diambil segelintir ibu bapa untuk tidak membenarkan anak ke sekolah walaupun institusi pendidikan itu tidak ditutup sementara, Mohamad Ali berkata, tindakan terbabit sudah pasti kerana mereka memberi keutamaan terhadap kesihatan dan keselamatannya.
Katanya, ibu bapa juga mengambil keputusan itu bagi memastikan anak mereka tidak dijangkiti COVID-19.
Mohamad Ali berkata, beberapa situasi semasa yang berlaku ketika ini berhubung COVID-19 sebenarnya merunsingkan ibu bapa, antaranya peningkatan kes pelajar dan guru dijangkiti pandemik itu.
“Peningkatan mendadak kes dan pertambaham jumlah pesakit, selain penutupan sekolah yang semakin banyak turut mencetuskan kebimbangan ibu bapa.
“Selain itu, ibu bapa bimbang kerana guru dan kakitangan sekolah belum disuntik vaksin COVID-19, malah lebih merisaukan apabila pelajar berumur bawah 18 tahun juga tidak diberikan perlindungan imuniasai terbabit yang meningkatkan risiko anak mereka dijangkiti,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN