26 APRIL: Semua pemimpin parti politik Melayu Islam dan Bumiputera perlu mengadakan pertemuan dan muzakarah bagi memantapkan muafakat dan kerjasama bagi membentuk kestabilan politik dan memulihkan ekonomi dengan mengambil keberkatan Ramadan.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa, berkata pemimpin Islam harus mempamerkan daya kepimpinan yang tinggi lagi dihormati.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berkata hanya Muafakat yang akan mengembalikan kekuatan dan perpecahan hanya mengembirakan musuh politik.
“Pandang kehadapan. Letakkan kepentingan ummah di hadapan.
“Sementara itu, jangan berlengah dalam melaksanakan agenda membela agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataannya menerusi laman Facebooknya hari ini.
Dalam satu lagi hantaran di Facebooknya, Annuar berharap semua pemimpin politik saling bermaafan antara satu sama lain.
“Kita berada di bulan keampunan dan kemaafan. Elok kita pupuk budaya saling memaafkan.
“Elok dihentikan gerakan sengaja membenci kerajaan, kepada sikap proaktif dan konstruktif dalam membawa idea dan gagasan untuk negara.
“Kritikan berasaskan fakta dangkal dan separa benar, tidak membantu sesiapa. Lebih elok sama sama kita fikirkan apa lagi yang boleh kita lakukan demi kepentingan nasional. Kita pastikan bersama bahawa kita mesti berjaya,” katanya.