26 APRIL: Kerajaan akan melakukan sekatan sementara penerbangan keluar masuk dari negara India bermula Rabu ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan tersebut dilakukan bagi mencegah kemasukan varian baharu wabak COVID-19 yang sedang menular pantas di negara tersebut.
Beliau menegaskan, pengembara yang memulakan perjalanan dari mana-mana destinasi di India sama ada menaiki penerbangan secara terus atau transit untuk ke Malaysia adalah dilarang untuk memasuki Malaysia.
“Larangan ini turut terpakai bagi penumpang yang transit di Malaysia untuk ke negara ketiga. Walau bagaimanapun, pengecualian hanya akan diberikan kepada warganegara Malaysia.
“Kapal yang mempunyai sejarah perjalanan dari negara India dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan prosedur sign-off (berlepas) di Malaysia kecuali kru warganegara Malaysia yang hanya wajib menjalani perintah kuarantin 14 hari,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan juga akan melaksanakan sekatan sementara kemasukan pekerja asing dari India yang ada pemegang pas lawatan kerja
sementara (PLKS) yang masih sah laku.
“Kita turut melaksanakan sekatan sementara kemasukan pelajar antarabangsa warganegara India dan pelawat perniagaan antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di Sabah dan Pahang akan ditamatkan mulai esok seperti yang telah dijadualkan.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, tiga daripada adalah di Sabah iaitu di Taman Villa Mas, Tawau; Kampung Melangkap Tomis, Kota Belud dan Kampung Melangkap Tomis, Kota Belud.
“Manakala selebihnya adalah di Pahang iaitu Pusat Komuniti Bersepadu Pulau Serai, Pekan serta lagi satu lokaliti di Temerloh melibatkan empat kampung iaitu Kampung Paya Pulai Tengah, Kampung Pulau Terap serta Kampung Batu 4 Paya Pulai dan Kampung Batu 5 Paya Pulai.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di empat lokaliti tersebut pada 27 April 201 seperti yang dijadualkan,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan Kerajaan turut bersetuju PKPD di Rumah
Panjang Sungai Duan, Mukah, Sarawak akan diperluaskan kepada enam lagi rumah panjang dan sebuah sekolah mulai esok.
Menurut beliau, rumah panjang yang terlibat adalah Rumah Panjang Belayong, Rumah Panjang Tepi, Rumah Panjang Minggu, Rumah Panjang Rimong, Rumah Panjang Undun dan Rumah Panjang Lindan manakala sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duan.
“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di sembilan buah Rumah
Panjang Sungai Duan, Jalan Bukut, Balingian, Mukah yang dijadualkan tamat pada 6 Mei 2021.
“Namun begitu, KKM melaporkan terdapat 17 kes positif baharu telah direkodkan di rumah panjang lain yang terletak berhampiran dengan kawasan PKPD Sungai Duan. Oleh itu, enam lokaliti dan sekolah itu akan dikenakan PKPD mulai esok,” katanya.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH