27 APRIL: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-87 kepada seluruh warganya.
Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Negara menerusi Facebook rasminya hari ini, ucapan berkenaan turut ditujukan Al-Sultan Abdullah kepada veteran dan semua yang pernah berkhidmat dengan TLDM.
“Jasa, khidmat dan bakti TLDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan perairan negara amat dihargai serta disanjungi.
“Semoga TLDM terus menjadi sebuah angkatan laut yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa.
“Syabas dan tahniah,” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah agar anggota pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dapat terus memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara ini daripada ancaman luar.
Sebagai kapten Yang Dipertua TLDM, baginda bertitah, warga ‘The Navy People’ diminta terus kekal fokus dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam melaksanakan peranan murni itu.
“Baginda juga berkenan menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada setiap warga ‘The Navy People’ yang sentiasa komited dan bangga dalam mencurahkan khidmat bakti serta ketaatsetiaan tidak terhingga terhadap perkhidmatan TLDM serta negara,” katanya.
Baginda bertitah demikian menerusi status yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, hari ini.