27 APRIL: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung rakaman audio dikatakan perbualannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tular di media sosial baru-baru ini.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang tiba di Bukit Aman kira-kira jam 9 pagi ini dengan ditemani peguamnya, Sankara N Nair.
Media sebelum ini melaporkan, rakaman audio perbualan dua individu yang mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar yang tular sejak awal bulan ini, akan disiasat jika pihak berkuasa menerima laporan.
Ahmad Zahid dan Anwar menjadi tumpuan selepas rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara mereka tular di media sosial.
Melalui audio berdurasi empat minit 17 saat itu, turut kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menerusi panggilan telefon.
Menerusi rakaman sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dikatakan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat selama 22 tahun.