27 APRIL: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, mengesahkan penahanan dua pegawainya oleh polis kerana dipercayai bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang, Geng Nicky.
Berikutan itu, Azam berkata SPRM sudah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dengan menyerahkan kedua-dua pegawai berkenaan bagi membantu siasatan.
“Saya memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam hal ini malah akan menyerahkan lagi mana-mana pegawai SPRM yang didapati bersubahat dengan kegiatan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada wakil media hari ini.
Azam berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai kejayaan Polis Johor menahan 12 pegawai polis termasuk berpangkat Superintendan dan pegawai SPRM dipercayai terbabit dengan ‘Geng Nicky’ dalam beberapa siri serbuan dalam fasa dua Ops Pelican 3.0 di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan bermula 21 April hingga pagi tadi.