27 APRIL: Seorang guru lelaki yang didakwa memukul murid tahun tiga di sebuah sekolah di Kuala Kedah, Khamis lalu mengakui menyesal dengan perbuatannya itu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, guru berkenaan mengaku memukul murid berkenaan kerana tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberinya.
Namun, menurut beliau, lelaki berkenaan juga mengaku sudah menyesal melakukan perbuatan itu.
“Kita sedang menunggu laporan prestasi guru berkenaan sebelum kertas siasatan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat keputusan.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, murid lelaki berusia sembilan tahun pada Khamis lalu cedera di lengan, jari kiri dan muka dipercayai dipukul gurunya.
Ibu mangsa yang berusia lingkungan 30-an kemudiannya membuat laporan polis selepas melihat kecederaan dialami anaknya ketika menjemput kanak-kanak itu pulang sekolah.
Mangsa memaklumkan gurunya memukulnya menggunakan pembaris disebabkan tidak menyiapkan kerja sekolah. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH