27 APRIL : Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mengingkatkan parti politik supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memecahbelahkan kerjasama antara parti politik.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu, berkata setiap parti mempunyai pandangan dan keutamaan tersendiri dalam berpolitik yang disifatkannya perkara normal.
Katanya, beliau memegang pendirian bahawa dalam politik ada perbezaan pendapat dan perbezaan keutamaan yang menjadi kelaziman.
“Namun apabila kami berada di dalam kerajaan sama, iaitu Persekutuan dan Negeri, bagi saya fokusnya adalah bagaimana untuk bekerjasama dan meningkatkan sinergi.
“Jangan keluarkan kenyataan yang akan memecahbelahkan. Itu saya punya pendirian,” katanya pada sidang media Majlis Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi STAR Berhad di Kota Kinabalu, hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata demikian ketika mengulas hubungan STAR dan Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika ini.
Sebelum ini, PBS mengeluarkan kenyataan parti itu sedang bersiap siaga untuk merebut semula kerusi tradisional PBS di Parlimen Keningau yang kini disandang Jeffrey.