27 APRIL: Gara-gara menunjukkan kemaluan dan melakukan onani di dalam Transit Aliran Ringan (LRT), baru-baru ini, seorang lelaki warga Bangladesh ditahan polis kelmarin.
Polis Daerah Subang Jaya menerusi Facebook mengesahkan lelaki warga Bangladesh itu ditahan pada 25 April lalu di Stesen LRT USJ 7, Subang Jaya pada jam 9.30 malam.
Menurutnya, suspek juga telah direman untuk siasatan lanjut.
Tangkapan itu dibuat selepas seorang wanita mendakwa melihat perbuatan lelaki berkenaan ketika menaiki LRT dari Stesen Alam Megah menuju Stesen Taman Melawati pada 4 April lalu.
Perbuatan jijik lelaki tersebut dirakam oleh wanita berusia 20 tahun itu, kemudian menularkannya di media sosial.
Susulan kejadian berkenaan, wanita itu tampil membuat laporan polis.