27 APRIL : Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) memperkenalkan Geran Pembangunan Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE DG) berjumlah RM25 juta sempena pelancaran Pelan Hala Tuju Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 hari ini.
Pelancaran geran yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed adalah bertujuan bagi membantu syarikat OGSE tempatan berpotensi tinggi dalam meningkatkan daya saing industri OGSE.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Ja’afar, geran itu dibangunkan dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) OGSE tempatan.
“Pengenalan geran itu diharap akan meningkatkan daya saing peserta tempatan menerusi inovasi teknologi dan membantu mempercepatkan usaha pengkomersilan dan eksport.
“MPRC menyasarkan sekurang-kurangnya 20 syarikat OGSE tempatan akan menerima geran berkenaan tahun ini. Geran ini berjumlah RM25 juta dengan RM5 juta diagihkan setiap tahun.
“Ini adalah sokongan bersasar bagi syarikat OGSE yang layak. Tujuannya untuk membantu syarikat OGSE merapatkan jurang dalam sebarang perjalanan mereka ke arah pengkomersilan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Pelan Hala Tuju Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 dan pengumuman geran berkenaan hari ini.
OGSE DE adalah sebahagian Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk membantu dan memudahkan PKS dan MTC OGSE berpotensi tinggi untuk maju dan membangunkan teknologi dan inovasi mereka.
Skop pembiayaan di bawah geran itu meliputi sektor kepintaran khusus, harta intelek, perundingan, pemasaran dan promosi, pembangunan prototaip dan piawaian antarabangsa dan pensijilan.
Mohd Yazid seterusnya berkata, peluang pembiayaan membabitkan ESG adalah meluas di peringkat global dengan anggaran nilai AS$59 trilion (RM242 trilion) menjelang 2025.
“MPRC juga menggalakkan peserta industri OGSE untuk menerapkan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi mereka bagi membolehkan mereka mendapatkan pembiayaan pada masa depan,” katanya lagi.