27 APRIL : Pelakon dan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa) dan suaminya, Haris Ismail (PU Riz), redha apabila mereka masing-masing dikehendaki membayar kompaun RM20,000 dan RM10,000 tanpa diskaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Neelofa berkata beliau menerima dengan hati terbuka berhubung kompaun sebanyak RM60,000 terhadap dirinya, suaminya, Haris Ismail dan 20 anggota keluarga yang lain kerana melanggar SOP PKPB.
Beliau berkata kompaun berkenaan adalah satu pengajaran kepadanya termasuk peringatan untuk memandang berat terhadap SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Saya menerima dengan hati yang terbuka dan menjadikan kompaun ini sebagai satu pengajaran untuk menggunakan kebenaran merentas negeri atas tujuan yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa.
“Juga peringatan buat saya dan semua yang terlibat pada majlis kahwin saya untuk sentiasa menitikberatkan soal kepentingan SOP,” katanya di Twitternya.
Neelofa juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama yang baik dalam menguruskan kes membabitkan dirinya.
“Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama yang baik dalam menguruskan kes saya.
“Saya ingin meminta maaf sekali lagi jika kes ini memberi sedikit masalah kepada kelancaran kerja-kerja harian kalian,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Twitternya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan Neelofa dan suaminya, PU Riz masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 atas kesalahan melanggar SOP PKPB.
Mohamad Zainal berkata, tiada diskaun dibenarkan bagi dua kesalahan membabitkan majlis pernikahan pasangan itu dan kebenaran untuk tujuan merentas negeri.
Mohamad Zainal berkata kesalahan pertama Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah mereka berlangsung.
Katanya, pasangan suami isteri itu juga melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran diberikan polis.
Beliau berkata semua ahli keluarga Neelofa, seramai 20 orang akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,5000 seorang kerana gagal mematuhi peraturan penjarakan fizikal sewaktu majlis akad nikah berlangsung.
Kompaun akan diberikan kepada semua individu terbabit hari ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM60,000.
Pada 27 Mac lalu, Neelofa, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 32, selamat diIjabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, PU Riz, 26, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara