28 APRIL : Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak menolak kemungkinan isu beberapa peniaga di Kelantan dikompaun RM50,000 kerana didakwa beroperasi melebihi masa ditetapkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), adalah disebabkan pegawai penguatkuasa kurang teliti dengan garis panduan ditetapkan kerajaan.
Ismail Sabri berkata, isu tersebut tidak sepatutnya berlaku dan pihak berkuasa seperti polis patut mengunakan budibicara sebelum menjatuh hukum.
“Kadang-kadang ada pihak berkuasa (Polis) kurang teliti dari segi tindakan, walaupun mereka ada budi bicara, sebagai contoh berniaga depan rumah dikompaun RM50,000 memang tidak lojik, jadi orang marah,”katanya semasa sidang media ketika menghadiri Majlis Perjumpaan, Berbuka Puasa dan Ramah Mesra bersama Persatuan-Persatuan Veteren Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, walaupun terdapat beberapa pegawai penguatkuasa melakukan kesalahan serta kelemahan dalam menguatkuasa hukuman ia tidak bermakna seluruh anggota polis perlu dipersalahkan kerana mereka sebelum ini melakukan tugasan cukup baik.
“Kita tidak boleh kata semua pegawai penguatkuasa salah. Kementerian Kesihatan (KKM) maklum peniaga boleh merayu, tapi ia tak sepatutnya berlaku, tidak sepatutnya sampai RM50,000.
“Secara keseluruhan kita dengar kes seperti ini baru berlaku, bermakna polis menjalan tindakan yang baik selama ini,kita tak boleh kata disebabkan satu dua kesalahan (pegawai polis) menyebabkan seluruh PDRM dianggap tidak mengunakan budi bicara yang baik,”katanya sambil memaklumkan KKM telah memberi jaminan peniaga terbabit akan dikurangkan jumlah kompaun.
Ismail berkata jumlah RM50,000 kompauan adalah maksimum dan ia sesuai digunakan untuk syarikat besar termasuk aktiviti kelab malam,
“Saya kata dulu tiap kali dalam sidang media, syarikat-syarikat yang menganjurkan contohnya kelab malam walaupun dalam kategori larangan beroperasi ia boleh dikenakan kompaun RM50,000 jika beroperasi,ini takkan jual burger kena RM50,000,”katanya.
Sebelum ini kecoh apabila beberapa perniaga di Kelantan dikompauan RM50,000 kerana beroperasi lebih masa sepanjang pelaksanaan PKP di Kelantan termasuk membabitkan peniaga burger dan colek.