27 APRIL : Polis Kelantan akan meneliti semula kompaun RM50,000 yang dikeluarkan terhadap peniaga burger di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bahru, malam kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata pihaknya membuka kertas siasatan dan akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK).
“Pihak polis akan melihat dari semua aspek termasuk kewajaran serta rungutan daripada masyarakat mengenai jumlah kompaun yang dikenakan.
“Seterusnya akan merujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk nasihat dan pandangan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Shafien memberitahu, merujuk kepada kes tular di media sosial membabitkan peniaga burger berkenaan, pada ketika itu pihak polis turut mengeluarkan tiga kompaun kepada pemilik premis kedai makan.
Menurut beliau, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak polis meningkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh daerah.
“Bagi tempoh 16 April sehingga semalam, sebanyak 127 kompaun dikeluarkan kepada pihak yang tidak mematuhi SOP ditetapkan.
“Pihak polis menerima aduan dan rungutan daripada masyarakat bahawa masih terdapat premis perniagaan yang tidak mematuhi SOP dan premis kedai makan beroperasi melebihi masa ditetapkan.
“Pada 25 April susulan aduan daripada orang awam, polis Kelantan mengeluarkan tujuh kompaun kepada pemilik dan pelanggan premis kedai makan di sekitar Pengkalan Chepa,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pegawai penguat kuasa perlu mengikut garis panduan ditetapkan Kerajaan ketika mengeluarkan sebarang kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Beliau menegaskan ia berikutan Kerajaan sudah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun mengikut Akta 342, sebagai panduan kepada penguat kuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.