27 APRIL: Keputusan menyekat kemasukan pengembara dari India ke Malaysia dilaksanakan kerajaan ketika ini, bukan berunsurkan diskriminasi atau rasis.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu sebaliknya bagi mengawal penularan kes COVID-19 varian baharu daripada merebak ke Malaysia.
Katanya, keputusan itu diambil sewaktu beliau mempengerusikan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.
”Semalam kita buat keputusan, kita sekat atau larang, tak benarkan orang yang datang dari India masuk, tetapi ini bukan soal rasis atau diskriminasi.
“Ini adalah untuk memastikan supaya varian yang begitu ganas dibawa dari sana tidak akan terjangkit ke sini.
“Jadi kita tidak akan membenarkan mereka masuk ke sempadan Malaysia sama ada menerusi darat, laut atau udara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Tahlil dan Penyampaian Sumbangan Ramadan Al-Mubarak Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Masjid Jamek Simpang Lima Darat, Bukit Gambir, Muar, hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau ada melihat rakaman video menunjukkan keadaan terkini COVID-19 di India yang cukup dahsyat akibat penularan varian lebih ganas daripada biasa, menyebabkan banyak nyawa terkorban.
Jelasnya, apabila melihat apa yang berlaku di negara India, selain Brazil dan kebanyakan negara, varian baharu ditemukan lebih ganas daripada asal.
“Kesemua ini meletakkan kita dalam keadaan yang cukup mencabar, justeru tak boleh leka satu hari pun, tak boleh kerana kalau mungkin sehari leka, akan berlaku perkara tidak dapat kita fikirkan berlaku dan membawa kesan kepada nyawa serta ekonomi negara kita,” katanya.