27 APRIL: Selangor kekal mencatatkan kes positif COVID-19 paling tinggi bagi lima hari berturut-turut apabila merekodkan 750 kes daripada 2,733 kes baharu hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan keseluruhan kes baharu itu juga, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 398,451 kes.
Negeri kedua mencatatkan kes baharu tertinggi COVID-19, hari ini, katanya adalah Kelantan, iaitu 484 kes, diikuti Sarawak (432) dan Kuala Lumpur (377), Johor (220) dan Pulau Pinang (115).
“Sabah pula mencatatkan 82 kes baharu, selain Terengganu dengan 61 kes baharu, Kedah (51), Negeri Sembilan (38), Perak (38), Pahang (35), Melaka (33) dan Putrajaya (15).
“Hanya Perlis negeri yang mencatatkan kes satu angka, iaitu 1, manakala Labuan tidak mencatatkan sebarang kes hari ini,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kluster baharu direkodkan hari ini, sebanyak 11 kluster, manakala kluster ditamatkan adalah dua kluster.
“Secara kumulatif, kluster aktif adalah sebanyak 367, kluster ditamatkan 1,247 dan kluster keseluruhan, 1,614,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN