28 APRIL: Kerajaan Kedah bakal menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada 5,300 kakitangan awam negeri itu.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pemberian itu yang akan memanfaatkan seramai 5,300 kakitangan awam negeri, termasuk lantikan kontrak membabitkan peruntukan RM5.3 juta.
“Pemberian ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan semua kakitangan awam di negeri ini yang bekerja keras selama ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Alor Setar, hari ini.
Beliau berkata, jumlah pemberian itu juga mengambil kira kutipan hasil kerajaan negeri yang meningkat sebanyak RM100 juta bagi suku pertama tahun ini iaitu sebanyak RM219 juta berbanding RM109 juta bagi tempoh sama (Januari hingga April) tahun lalu.
“Bayaran bantuan kewangan itu akan dibuat sebelum hari raya Aidilfitri ini,” katanya.