Khairy nafi beri arahan vaksinasi pekerja Genting Group
28 APRIL : Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan beliau telah memberi arahan untuk sejumlah pekerja syarikat Genting Group diberikan vaksin COVID-19, seperti tular dalam media sosial.
Menurut Khairy yang juga sebagai Menteri bertanggungjawab menyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), beliau tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan seperti dakwaan tersebut dan segala proses vaksinasi dibuat mengikut Garis Panduan Penetapan Senarai Petugas Barisan Hadapan seperti dikeluarkan Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada 1 Mac lalu.
Katanya lagi, janji temu vaksinasi sepanjang tempoh pelaksanaan fasa satu pula diuruskan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) negeri mengikut senarai yang turut disediakan pada peringkat negeri.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa negeri yang beranggapan mereka boleh mula memberikan vaksinasi kepada kumpulan penerima lain apabila selesai menjalankan vaksinasi kepada penerima fasa pertama.
“CITF Pahang membuat keputusan memberikan vaksin kepada pekerja di sektor pelancongan membabitkan 56 hotel di Kuantan, Genting Highlands, Cameron Highlands, Jerantut, Raub, Mentakab, Bentong, Bukit Tinggi dan Bukit Fraser,” jelasnya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Katanya lagi, keputusan itu dibuat apabila Pahang selesai memberikan vaksinasi dos pertama (sementara menunggu selang masa bagi dos kedua) kepada semua penerima tersenarai dalam kumpulan keutamaan fasa pertama.
“Pihak CITF Persekutuan hanya mengetahui mengenai keputusan CITF negeri ini selepas mereka memulakan vaksinasi kepada kumpulan itu.
“Susulan kejadian ini, saya sudah menulis surat kepada Kerajaan Pahang pada 12 April lalu bahawa keputusan menyenaraikan kumpulan awal penerima vaksin adalah bawah bidang selia JKJAV,” ujarnya.
Beliau berkata, sehingga mana-mana kumpulan turut disenaraikan, keputusan senarai keutamaan terdahulu adalah terpakai.