28 APRIL : Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar wujud kes membabitkan dakwaan jenaka mengenai jenayah rogol dilakukan seorang guru.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihak kementerian itu memandang serius dakwaan terbabit dan tidak akan sama sekali bertoleransi.
“Pihak kementerian mengambil serius perkara ini dan siasatan mendalam sedang dilakukan. Jika terbukti ada kes, tindakan sewajarnya dan tegas akan diambil,” katanya pada sidang khas Menteri Kanan Pendidikan di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu seorang pelajar perempuan mendakwa guru lelaki di sekolahnya membuat jenaka mengenai jenayah rogol, ketika pengendalian subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).
Isu berkenaan tular selepas pelajar terbabit memuat naik video menerusi aplikasi Tik Tok berhubung jenaka itu yang disifatkan sebagai menggalakkan perlakuan rogol.
Sementara itu, Radzi berkata, program pemberian 150,000 komputer riba kepada anak-anak daripada keluarga B40 seperti diumumkan pada Belanjawan 2021, masih berjalan.
“Program ini sudah dimulakan, lebih 13,000 unit diedarkan setakat ini dan akan terus diedarkan. Proses ini berjalan dengan baik dan akan diteruskan pengagihan baki selebihnya,” katanya. -Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN