28 APRIL: Kerajaan Pahang mengumumkan akan memberi Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM1,000 kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di Pahang sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata bantuan itu dibayar pada 7 Mei ini kepada semua gred penjawat awam membabitkan peruntukan kira-kira RM8 juta.
Katanya, keputusan itu dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri hari ini selepas mengambil kira kemampuan kewangan negeri.
“Bantuan khas ini diluluskan berasaskan kemampuan kewangan negeri serta sikap peduli kerajaan negeri terhadap rakyat khusus penjawat awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Rosdy berkata, turut mendapat bantuan itu sebagai sagu hati ialah penjawat awam Persekutuan gred JUSA C ke atas yang berkhidmat di negeri ini.