29 APRIL: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 23 ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sempena Nuzul Al-Quran di Istana Negara , hari ini.
Penerima diketuai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar, selaku Pengerusi MAIWP, diikuti Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh sebagai Timbalan Pengerusi MAIWP.
Tempoh pelantikan yang berkuat kuasa 10 Februari lalu sehingga 9 Feb 2024 itu, mengikut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.
Antara penerima lain watikah pelantikan itu, adalah Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan mewakili Ketua Setiausaha Negara; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin bagi pihak Ketua Polis Negara.
Selain itu, penerima watikah pelantikan berkenaan adalah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail pula dilantik sebagai Setiausaha MAIWP.