29 APRIL: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan telah membuka tiga kertas siasatan melibatkan tiga peniaga yang dikompaun sebanyak RM50,000 pada Ahad lalu.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, perbincangan lanjut bersama pihak polis Kelantan telah dilakukan semalam bagi membincangkan secara terperinci berkenaan kes-kes itu.
Menurut beliau, kertas siasatan tersebut dibuka bagi melihat secara terperinci berkenaan kompaun dan juga rayuan yang dikemukakan tiga peniaga terlibat.
“Kertas-kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut manakala jumlah pengurangan nanti akan dimaklumkan pihak KKM selepas ia dibincangkan.
“Peniaga lain yang turut dikenakan kompaun boleh membuat rayuan sama dan kemukakan kepada Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau menegaskan, pegawai-pegawai penguat kuasa akan terus memantau kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 yang tinggi di negeri ini.
“Setiap hari kita dapat lihat statistik harian Covid-19 Kelantan menunjukkan angka yang tinggi dan membimbangkan. Maka saya menyarankan agar semua rakyat terus patuh arahan dan jaga diri masing-masing.
“Hanya kita yang dapat bantu diri kita sendiri. Wabak ini berada di dalam masyarakat, jaga kesihatan, jaga kebersihan dan jarakkan diri daripada individu lain supaya kita dapat menghindari jangkitan tersebut,” katanya.