29 APRIL: Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mahu kerajaan membanteras kewujudan orang tengah yang menjadi punca utama kenaikan harga barangan yang melampau pada musim perayaan.
Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata pihaknya mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memerangi sindiket kartel ini yang berlaku di peringkat pengimport dan pemborong.
“Fenomena harga melambung perlu dititiknoktahkan yang rata-rata memberi kesan yang sangat buruk kepada pengguna dan peniaga.
“Sehingga pertengahan Ramadan ini, ramai pengguna dan peniaga berasa sangat terkesan dan mengeluh akibat harga yang tidak masuk akal termasuk barang basah seperti sayur, udang, ikan, ayam, daging dan buah selain minyak masak dan barang makanan dalam tin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihaknya memahami penentuan harga barangan bergantung kepada harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti tetapi permainan harga yang tidak munasabah dengan niat membuat keuntungan tinggi masih terus berlaku pada masa ini.
“Di manakah peranan Majlis Harga Barang Negara yang sepatutnya memberi data mutakhir bagi setiap barangan yang dijual tetapi pada harga akhir kepada pengguna itu tetap sangat tinggi. Pengguna mula mempersoalkan apakah fungsi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” soalnya.
Justeru, pihaknya melahirkan keprihatinan yang sangat tinggi terhadap kebajikan pengguna perlu dibela, tidak dibuli dan tidak ditindas sama sekali di samping tidak menghimpitkan keresahan peniaga dan penjaja untuk menjual barangan masing-masing dengan harga yang patut.
Razali berkata, ketika ini, pengguna masih bergelut dengan ekonomi masa kini, terutama kelompok rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Kesejahteraan rakyat perlu dibela pada ketika pasaran domestik negara juga diberikan rangsangan pemulihan ekonomi oleh kerajaan sedia ada,” katanya.