29 APRIL: Seramai 1,409,215 individu sudah menerima vaksin COVID-19, setakat semalam di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menurut perkongsian data di Twitter Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, seramai 537,996 daripada jumlah itu sudah dilengkapi dua dos vaksin terbabit, manakala 871,219 selesai menerima dos pertama.
Berdasarkan maklumat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pendaftaran vaksin pandemik berkenaan, setakat ini adalah 9,365,711 atau 38.60 peratus dengan 33,298 pendaftaran baharu direkodkan sehingga 11.59 malam tadi.
Selangor merekodkan bilangan penerima vaksin tertinggi dengan 116,450 penerima dos pertama dan 73,608 bagi dos kedua.
Kuala Lumpur merekodkan seramai 89,659 (dos pertama) dan 49,277 (dos kedua); manakala Sarawak (88,921 dos pertama dan 55,258 dos kedua); Johor (76,604 dos pertama dan 45,776 dos kedua); Sabah (70,520 dos pertama dan 49,264 dos kedua); Perak (69,996 dos pertama dan 51,825 dos kedua); Pulau Pinang (60,633 dos pertama dan 33,745 dos kedua) serta Kedah (57,436 dos pertama dan 31,999 dos kedua).
Selain itu, Kelantan (43,697 dos pertama dan 24,406 dos kedua); Negeri Sembilan (37,649 dos pertama dan 27,703 dos kedua); Terengganu (35,890 dos pertama dan 25,904 dos kedua); Melaka (29,442 dos pertama dan 15,270 dos kedua); Perlis (16,897 dos pertama dan 9,902 dos kedua), Putrajaya (8,980 dos pertama dan 6,306 dos kedua) serta Labuan (8,275 dos pertama dan 2,933 dos kedua).
PICK bermula pada 24 Februari lalu membabitkan tiga fasa yang menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjadi individu pertama menerima vaksin COVID-19.
Fasa 1 bermula hujung Februari lalu membabitkan sejumlah lebih 500,000 barisan hadapan, terdiri daripada petugas kesihatan dan bukan kesihatan yang dijadualkan tamat pada April.
Bagi Fasa 2 yang bermula April hingga Ogos ini dengan sasaran sebanyak 9.4 juta orang, penerimanya membabitkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19, iaitu warga emas, golongan rentan berusia 60 tahun ke atas bermasalah morbiditi, seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi serta golongan orang kelainan upaya (OKU).
Manakala, Fasa 3 akan membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas yang dijangka bermula Mei hingga Februari tahun depan dengan sasaran seramai 14 juta orang. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN