29 APRIL: Dakwaan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun diarah menjalani kuarantin selama 14 hari adalah tidak benar sama sekali.
Perkara itu dinafikan sendiri oleh Mohd Zolkafly yang menyatakan tidak terlibat dengan program di Lenggong, Perak yang dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad adalah Saarani baru-baru ini.
“Saya tidak diarahkan kuarantin seperti Menteri Besar dan saya bukan kontak rapat kepada pesakit yang disahkan positif Covid-19 di Lenggong,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Saarani diarah menjalani kuarantin wajib COVID-19 selama dua minggu, mulai hari ini.
Arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) selepas berlaku kontak rapat antara Saarani dengan seorang individu positif COVID-19 di Lenggong, baru-baru ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Politik beliau, Datuk Sham Mat Sahat, semalam yang memaklumkan beliau mengetahui perkara itu selepas Saarani meminta beliau mewakilinya ke sebuah majlis berbuka puasa di Batu Kurau yang dijadualkan pada Jumaat ini.
Saarani diminta menjalani kuarantin selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak disusuli sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan semalam.