28 APRIL: Pengasas BioNTech, Ugur Sahin yakin vaksin dihasilkan syarikatnya dengan kerjasama Pfizer mampu berfungsi melawan varian India COVID-19.
Sahin berkata, keyakinan itu berdasarkan uji kaji dan penyelidikan yang dilakukan pihaknya ke atas varian virus berkenaan.
“Kami masih melakukan kajian ke atas varian India ini, tetapi ia memiliki mutasi yang sudah kami uji dan vaksin kami juga berfungsi dengan baik. Jadi saya yakin.
“Vaksin ini dibangunkan dengan baik dan saya yakin ia akan menjadi benteng yang kukuh. Jika kita perlu perkasakan lagi benteng itu, kita akan melakukannya dan ia tidak membimbangkan,” katanya.
India berdepan peningkatan mendadak kes dan kematian baharu disebabkan pandemik COVID-19 dengan kebimbangan terus meningkat disebabkan varian baharu yang boleh mendorong kepada bencana lebih besar.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini dilaporkan, berkata varian B1617 COVID-19 yang pertama kali ditemui di India, sudah menular di sekurang-kurangnya di 17 negara buat masa ini.
Badan kesihatan itu turut menyenaraikan varian B1617 sebagai memiliki beberapa mutasi dan karaktor berbeza.
Bagaimanapun, badan kesihatan berkenaan tidak lagi mengisytiharkan varian itu sebagai ‘varian membimbangkan’, yang menunjukkan ia lebih berbahaya berbanding virus asal, iaitu mudah menjangkiti dan berupaya melawan perlindungan vaksin.
Pfizer-BioNTech menjadi vaksin pertama yang diluluskan penggunaannya di negara Barat dan setakat ini sudah dihantar di puluhan negara di seluruh dunia.