29 APRIL: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan bahawa Tan Sri Dr. Zeti Aziz tidak memperbaharui tempoh jawatannya sebagai Pengerusi Kumpulan selama tiga tahun yang berakhir esok.
Zeti secara rasmi telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB), hasrat beliau untuk bersara.
Menurut PNB, Zeti telah memacu perjalanan transformasi PNB sejak pelantikan beliau pada 2018 dengan menyaksikan institusi tersebut mencapai kemajuan besar dalam tiga bidang utama.
Pertama, usaha kepelbagaian ke dalam kelas aset dan pasaran global yang lebih luas menyaksikan pendedahan PNB dalam aset antarabangsa meningkat kepada 12.3 peratus akhir tahun lalu.
Usaha itu jelas PNB, telah mengukuhkan portfolio pelaburannya daripada hanya tertumpu dalam ekuiti domestik.
Kedua, PNB telah berjaya mengukuhkan keupayaan pengurusan risiko dan kecairannya dengan fokus menurunkan peratusan pegangan tunai lebih tinggi hasil daripada pengurusan pendedahan risiko pertukaran asing yang lebih besar.
“Akhir sekali, PNB telah memulakan transformasi organisasi di seluruh Kumpulan yang telah menghasilkan inovasi digital, kecekapan operasi dan pengembangan bakat menerusi pelbagai inisiatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.