30 APRIL: Kedegilan dan kealpaan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terus meningkat apabila jumlah individu yang ditahan atas kesalahan ingkar peraturan terbabit, bertambah secara mendadak semalam, iaitu 420 individu, berbanding 314 pada hari sebelumnya.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 417 individu dikompaun, manakala tiga direman.
Kesalahan penjarakan fizikal, katanya, mencatatkan jumlah paling tinggi dengan 188 individu.
“Gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis turut mencatatkan ratusan individu, iaitu 162 orang.
“Manakala kesalahan lain adalah tidak memakai pelitup muka dengan 48 individu dan lain-lain (22),” katanya dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini. –Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN