30 APRIL: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menegaskan pegawai penguat kuasa tidak terburu-buru mengeluarkan sebarang kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Katanya, tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan di bawah undang-undang itu adalah bagi mendidik pelaku supaya bertanggungjawab mennagani COVID-19.
“Kerajaan tidak mahu bebankan rakyat, malah tindakan mengenakan kompaun bukanlah bertujuan menjejaskan kehidupan, tetapi mahu memastikan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tinggi, nyawa selamat dan pelaku muhasabah diri.
“Akta ini sudah tetapkan jumlah kompaun, tetapi ada budi bicara untuk rayuan dan kurangkan nilai berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian seminar ‘Cabaran Covid-19 Menurut Perspektif Islam’ dan pelancaran buku Fakulti Pengajian Islam (FPI) 2020/202, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara maya, hari ini.
Redzuan berkata, tindakan segelintir rakyat yang masih berdegil tidak mematuhi SOP menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes baharu pandemik itu.
Terdahulu ketika ucapan, beliau berkata, kerajaan sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pakar dalam pelbagai bidang, terutama pengajian Islam bagi merungkai persoalan dalam isu berkaitan COVID-19.
“Nasihat dan cadangan daripada ahli akademik yang berasaskan kajian adalah diperlukan seiring dengan langkah penguatkuasaan diambil kerajaan,” katanya.