30 APRIL : Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memburu lapan lelaki yang disyaki terlibat dalam insiden pukul dua individu menggunakan paip getah di Chow Kit, Kuala Lumpur yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis mendapati berdurasi selama 54 saat memaparkan dua lelaki dipukul dengan getah paip dan ditendang oleh dua lelaki sambil disaksikan enam individu lain di dalam sebuah bilik yang menyerupai pejabat.
Menurut beliau, Isi kandungan video itu didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang wangi untuk menyiasat asal usul video ini.
“Siasatan polis akan menjurus kepada individu-individu yang terlibat di dalam video ini dan mereka akan dikesan dan akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Zainal memberitahu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 342 akta sama.
Justeru itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak berkongsi atau menyebarkan video tersebut melalui media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam.
“Polis Dang Wangi meminta mana-mana individu yang terlibat dalam insiden itu supaya tampil ke hadapan bagi membantu siasatan kes ini.
“Lokasi kejadian itu di Chow Kit serta suspek terlibat juga telah dikenalpasti polis untuk tindakan lanjut selepas ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,”katanya.