30 APRIL : Seorang lelaki diburu polis ekoran tindakannya mengugut isteri mengunakan pisau selepas isterinya itu enggan berbuka puasa di luar bersama bapa mertuanya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki itu dikatakan tidak berpuas hati dengan sikap isterinya itu lalu berlaku perselisihan faham di rumah kediaman mereka di Jalan Pandai Ria 1, Ampang.
Kata Mohamad Farouk, disebabkan keengganan isterinya itu, suspek mula marah dan mengambil pisau di dapur serta mengugut isterinya namun wanita tersebut berjaya melarikan diri.
“Kira-kira pukul 12.20 tengah malam kelmarin, suspek pulang ke rumah dan masih tidak berpuas hati dengan isterinya. Suspek memukul wanita itu pada badan dan mengambil pisau dari bilik tidur serta mengacukan pada pinggang isteri namun dihalang oleh adik iparnya,” katanyamenerusi satu kenyataan, hari ini.