1 MEI : Hospital Patel Welfare di Bharuch, barat India terbakar menyebabkan 18 pesakit COVID-19 terbunuh dalam insiden yang berlaku semalam.
Seramai lima puluh pesakit lain berjaya diselamatkan pekerja hospital dan anggota bomba.
Kebakaran di hospital tersebut berlaku di pusat jagaan khusus COVID-19 kira-kira pukul 12.30 pagi.
Punca kejadian kebakaran tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa India.
India, yang bergelut dengan gelombang kedua jangkitan koronavirus, baru-baru ini menyaksikan beberapa kebakaran hospital yang membawa maut.
Pada 23 April, sejumlah 13 pesakit meninggal di hospital swasta khusus untuk rawatan COVID-19 di Virar.
Pada 28 April, kebakaran hospital di Mumbai meragut nyawa empat pesakit.