1 MEI : India menjadi negara pertama di dunia yang mencatatkan kes harian sebanyak 400,000 dalam tempoh 24 jam, sekaligus memperlihatkan penularan virus yang semakin kritikal di negara tersebut.
Data rasmi Kementerian Kesihatan negara itu memaklumkan, sebanyak 401,993 jangkitan baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 19.1 juta kes.
Manakala, angka keseluruhan kematian pula meningkat kepada 211,853 apabila sebanyak 3,523 kes kematian baharu dicatatkan.
Dalam usaha untuk mengatasi penularan virus yang semakin meruncing, India memperluas pelaksanaan program imunisasi kepada seluruh golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas membabitkan kira-kira 600 juta penduduk.
Setakat ini, kira-kira 150 juta suntikan vaksin COVID-19 sudah diberikan, iaitu bersamaan 11.5 peratus daripada keseluruhan jumlah 1.3 bilion penduduk di India, dengan hanya 25 juta orang telah menerima suntikan kedua.
Keadaan bertambah buruk apabila New Delhi membuat keputusan untuk meminta hospital swasta dan pihak negeri supaya menempah sendiri bekalan vaksin.
Ia sekali gus mewujudkan sistem harga tiga peringkat yang menuntut bayaran lebih tinggi bagi setiap dos, berbanding kerajaan pusat.
Perkara itu turut mencetuskan pertelagahan antara kerajaan pusat bawah kepemimpinan parti Bharatiya Janata, dengan kerajaan negeri diterajui pembangkang.