1 MEI: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, meminta pihak yang mempertikaikan pendedahannya mengenai campur tangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam urusan polis supaya berhenti berbuat demikian atau berdosa kering
Berikutan itu, Abdul Hamid menolak dakwaan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kepong, Datuk Norizan Ali, bahawa beliau bertindak menyerang Hamzah kerana tidak berpuas hati kerana kontraknya tidak disambung.
“Bagi tau dia, jangan buat dosa kering! Saya bukan biawak yang makan bangkai. Saya masih ada maruah diri,” dalam satu kenyataan kepada sebuah portal berita hari ini.
Media hari ini melaporkan, Norizan mendedahkan Abdul Hamid didakwa bertindak ‘menyerang’ Hamzah dalam sidang medianya semalam kerana tidak berpuas hati kerana kontraknya sebagai Ketua Polis Negara tidak disambung.
Norizan, berkata beliau percaya nada Abdul Hamid mungkin berlainan dan akan memuji Hamzah melambung tinggi jika Menteri Dalam Negeri selaku Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mencadangkan kontrak beliau disambung.
Berikutan itu, Norizan menyifatkan serangan, Abdul Hamid terhadap Hamzah atas dakwaan campurtangan dalam pasukan polis di saat-saat akhir perkhidmatannya akan berakhir adalah sesuatu yang pelik dan tidak wajar sama sekali.
Terdahulu, Hamid menuduh Hamzah menyalahgunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam urusan polis, termasuk menyekat pertukaran pegawai polis bermasalah.
Beliau berkata tindakan beliau mendedahkan campur tangan Hamzah yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di ambang persaraannya kerana beliau sibuk mengejar masa selama ini untuk membetulkan kepincangan dalaman pasukan polis.
Hamid akan bersara secara rasmi Isnin ini dan tempatnya akan digantikan Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.
Sebelum ini, Hamid beberapa kali menegaskan beliau tidak keberatan bersara seperti dijadualkan, namun bertekad membanteras “kartel polis”, iaitu pegawai atasan yang bersekongkol dengan penjenayah