1 MEI : Kerajaan akan mengkaji semula kadar gaji minimum untuk memastikan ianya kekal relevan dengan keadaan sosio-ekonomi semasa.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu gaji minimum dalam memastikan setiap pekerja mendapat hak mereka dalam keadaan yang lebih terjamin.
“Saya berharap dan menyeru agar semua pihak yang ingin menyuarakan pendapat dan cadangan berkenaan isu ini mengambil bahagian dalam platform yang disediakan,” katanya ketika berucap sempena Hari Pekerja hari ini.
Muhyiddin menjelaskan, ia merupakan antara usaha diambil kerajaan yang menggariskan tiga strategi utama sejak setahun lalu bagi membantu golongan pekerja dalam berdepan kesukaran semasa akibat wabak COVID-19.
“Strategi pertama ialah mengekalkan pekerjaan, strategi kedua melindungi hak pekerja manakala strategi ketiga mencipta peluang pekerjaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan juga dalam proses untuk menambahbaik dan meminda undang-undang perburuhan.
“Contohnya Akta Kerja 1955 dengan meluaskan skop pemakaian kepada semua pekerja dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji, memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti paternity selama 3 hari.
“Kita juga akan menambahbaik amalan kerja dan kehidupan yang lebih seimbang (Work Life Balance) melalui pengurangan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam selain memperkenalkan aturan kerja fleksibel,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin memberitahu pelbagai usaha telah diambil kerajaan dalam mengurangkan penggangur an iaitu menyediakan perkhidmatan pekerjaan dan pemadanan kerja melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara (MYFutureJobs), “one-stop centre” UpskillMalaysia, HRDF Placement Centre (HPC) dan program Short-term Employment Program atau MySTEP.
Perdana Menteri turut mengakui walaupun banyak bantuan disediakan kerajaan, masih juga terdapat golongan pekerja yang terjejas dan akan mengambil masa yang lebih lama untuk kembali menikmati kehidupan seperti sebelum tercetusnya wabak COVID-19.
“Namun, saya yakin bahawa rakyat Malaysia khususnya warga pekerja akan kekal berdaya tahan dan saling memperkukuh dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara kita.
“Peranan yang saudara dan saudari mainkan sebagai rakan strategik dalam
membangunkan ekonomi negara selama ini adalah sangat penting dan dihargai kerajaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH