1 MEI : Komitmen Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu mengkaji semula kadar gaji minimum bagi memastikannya kekal relevan dengan keadaan sosie-ekonomi semasa negara adalah tepat pada masanya.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata hasrat kerajaan itu adalah selari dengan pendirian CUEPACS selama ini yang mahu kadar gaji minimum disemak semula berikutan berlakunya peningkatan kos sara hidup yang begitu mendadak ketika ini.
“Begitu juga dalam perkhidmatan awam, gesaan CUEPACS agar kerajaan mengkaji semula Sistem Saraan Malaysia yang sudah digunapakai sejak tahun 2002 adalah bertepatan sekali supaya ia relevan mengikut persekitaran ekonomi semasa.
“Sistem saraan yang diguna pakai dalam perkhidmatan awam ketika ini dilaksanakan berdasarkan kajian semasa ekonomi pada tahun tersebut dan semestinya perlu dikaji setiap lima tahun sekali supaya ia relevan berdasarkan situasi ekonomi semasa negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan itu, Adnan berkata CUEPACS bersedia berkongsi pandangan serta terlibat secara langsung dalam mengambil bahagian bagi mengkaji penetapan gaji minimum pekerja terutama melibatkan sektor perkhidmatan awam.
Beliau berkata andaian bahawa kos sara hidup akan meningkat sekiranya gaji rakyat dinaikkan adalah tidak boleh diterima kerana ianya hanya satu alasan yang digunakan oleh pihak kapitalis untuk menghalalkan mereka mengaut keuntungan melalui pihak pekerja.
“Sekiranya gaji tidak dinaikkan, kos sara hidup tetap naik sehingga menyebabkan rakyat terkesan. Mekanisme pengawalan kenaikan harga barangan perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan bagi mengatasi permasalahan ini dan bukannya menghukum rakyat dengan mengenakan gaji rendah,” katanya.