1 MEI : Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 2,881 kes baru positif COVID-19 dan 15 lagi kematian dilaporkan berlaku di seluruh negara hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan itu jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia kini mencecah 411,594 kes termasuk 380,442 kes atau 92.4 peratus sudah sembuh, manakala 29,631 masih aktif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.
Beliau berkata sebanyak 337 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 176 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.
“Pada hari ini, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 759 kes (26.3 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 522 kes (68.8 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 445 kes (15.4 peratus) dan Kelantan sebanyak 442 kes (15.3 peratus).
“Sebanyak 97 kes (3.4 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan pusat tahanan yang membabitkan Kluster Pagar Sri Lalang (78 kes) dan Kluster Tembok Choh Dua (19 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata terdapat 15 kes kematian membabitkan warga tempatan hari ini termasuk lima kes di Selangor, masing-masing dua kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sarawak, dan Pulau Pinang serta masing-masing satu (1) kes di Sabah, Terengganu, Kelantan, dan Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata KKM juga ingin memaklumkan terdapat 14 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan masing-masing empat kluster komuniti, kluster tempat kerja, dan kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan KPM, serta dua kluster keagamaan.
Beliau berkata dengan pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster dikesan di Malaysia sekarang ialah 1,669 kluster termasuk 1,274 sudah tamat dan 395 masih aktif.
“Sembilan kluster tamat pada hari ini ialah Kluster Jalan Sulaiman, Kluster Jalan Tanjung Kidurong, Kluster Rajang, Kluster Sinsingon, Kluster Jalan Merpati, Kluster Jalan Tanjung, Kluster Beringin, Kluster Jalan Bandar Sembilan, dan Kluster Jalan SC Satu.
“Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini ialah 80 kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Pagar Sri Lalang (78 kes), Kluster Jalan Kempas Satu (62 kes), dan Kluster Long Jegan (51 kes),” katanya.