1 MEI : Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan yang dijadualkan tamat hari ini akan lanjutkan dua minggu lagi sehingga 16 Mei ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku penularan berterusan kes positif Covid-19 di kalangan penghuni di kawasan itu.
Menurut beliau, KKM telah melakukan sebanyak 866 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 422 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“Bahkan, KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penghuni di kawasan PKPD berkenaan serta terdapat enam baki sampel saringan yang belum mempunyai keputusan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah ini bermula 3 Mei hingga 16 Mei ini,” katanya menerusi kenyataan media laporan perkembangan COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan penamatan PKPD di dua lokaliti melibatkan Kampus UMS, Kota Kinabalu dan SMKA Kota Kinabalu di Sabah mulai esok.
Beliau berkata, penamatan PKPD seluruh Kampus UMS dibuat selepas KKM melaporkan terdapat trend penurunan kes, manakala kluster pula terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.
“Begitu juga penamatan PKPD SMKA Kota Kinabalu. Ia dibuat selepas KKM melaporkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal.
“Sebanyak 836 ujian saringan telah dilakukan di kawasan ini dan daripada jumlah itu, 190 daripadanya didapati positif Covid-19 manakala semua kes positif dan kontak rapat telah diasingkan serta dipantau sehingga hari ke-14.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD pada SMKA Kota Kinabalu, Sabah mulai hari ini,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Bergosong, Tawau, Sabah selepas berlaku peningkatan kes secara mendadak.
“Sehingga kini, katanya, KKM telah melakukan 59 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 22 kes positif Covid-19 telah direkodkan dalam tempoh satu minggu.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH