2 MEI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan mereka yang gagal membayar kompaun akibat kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 boleh dihadapkan ke mahkamah.
Takiyuddin berkata, setiap undang-undang dibuat merangkumi kesalahan iaitu larangan daripada melakukan sesuatu perkara dan ada peruntukan mengenai hukuman ataupun penalti.
“Hukuman, denda, kompaun dan sebagainya yang dikenakan itu adalah pilihan terakhir serta perlu digunakan dengan penuh budi bicara.
“Dalam hal ini (kompaun dikeluarkan), kita percaya pihak penguat kuasa yang diberi kuasa mengikut undang-undang khususnya Akta 342 sama ada polis, penguat kuasa pihak kerajaan tempatan (PBT) atau pegawai kesihatan mampu mengendalikannya.
“Kita mengharapkan sebarang pengeluaran kompaun dan sebagainya dibuat sebagai langkah terakhir untuk kita mengawal daripada berlakunya tindakan yang boleh menaikkan lagi masalah penularan COVID-19 ini,” katanya selepas Program Majlis Penyampaian Sagu Hati Aidilfitri kepada imam masjid Jumaat, halaqat dan penghulu bagi Parlimen Kota Bharu di Dewan Bunga Raya, Majlis Daerah Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, individu yang dikompaun berhak mengemukakan rayuan dan pada masa sama, pihak berkuasa yang mengenakan kompaun pula boleh menggunakan budi bicara jika mahu memberikan pengurangan.
Beliau berkata, kompaun yang dikenakan itu sebenarnya bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan.
“Denda yang dikenakan jika dibayar dalam tempoh tertentu akan menerima diskaun sama ada 50 peratus atau 25 peratus dan bagi golongan B40, pelajar dan orang yang mempunyai asas pula boleh mengemukakan rayuan.
“Saya difahamkan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga kini hanya mengenakan amaran. Sebab itu kita kata udang-undang dibuat bergantung kepada besar atau kecil sesuatu kesalahan,” katanya.