2 MEI: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini, memberi bayangan bahawa aktiviti merentas negeri untuk pulang menyambut Hari Raya di kampung sempena perayaan Aidilfitri nanti mungkin tidak dibenarkan.
Justeru, Ismail Sabri berharap rakyat akur dengan arahan kerajaan sekiranya mereka tidak dibenarkan melakukan perjalanan merentas negeri pada musim perayaan Aidilfitri nanti.
Ismail Sabri berkata, keputusan larangan itu sekiranya dibuat adalah untuk melindungi nyawa rakyat daripada dijangkiti wabak Covid-19.
“Saya nasihatkan kepada warga kita yang ingin balik kampung, saya faham kalau saya pun boleh menangis juga rindukan mak walaupun sudah tua.
“Saya faham dua tahun tak jumpa mak, cucu tak jumpa datuk…nenek, anak tak jumpa bapa, tapi kita melihat apa yang dilakukan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) adalah untuk melindungi nyawa kita semua,” katanya menerusi temu bual khas bersama sebuah portal berita di Bera, Pahang, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata dalam tempoh lima bulan lalu sebanyak 42 kluster COVID-19 dikesan adalah berpunca daripada perjalanan rentas negeri sehingga menyebabkan lebih 5,800 individu dilaporkan positif.
Malah, beliau berkata pada bulan April sahaja sebanyak 11 kluster dikesan dengan dua negeri paling terkesan akibat rentas negeri ialah Kelantan dan Sarawak.
“Kelantan paling klasik dari hijau seluruh daerah tiba-tiba menjadi merah kesemuanya, manakala Sarawak pula ada seorang yang bekerja di kilang elektronik di Johor balik ke Sarawak menjangkiti lebih 2,600 orang dan menyebabkan 29 kematian.
“Katakan kita balik menjangkiti keluarga kita, kalau nasib tidak baik contohnya mereka meninggal kerana kita, mungkin kita bergembira tiga, empat hari beraya dengan ibu bapa kita, tapi akhirnya akan menangis seumur hidup kerana kita yang menyebabkan mereka terkorban,” katanya.
Ismail Sabri mendedahkan terdapat satu kes pernah berlaku di Sarawak apabila satu keluarga meninggal selepas dijangkiti COVID-19.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, beliau berkata, terdapat dua kumpulan isitu yang mahu kerajaan tegas dengan menutup semua aktiviti sepertimana PKP 1.0 dan satu kumpulan lebih liberal yang mahukan kebebasan.