2 MEI: Kerajaan Negeri menyerahkan kepada Kerajaan Persekutuan sama ada melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Kelantan atau sebaliknya berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negeri berkenaan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sehingga kini pihaknya belum ada sebarang cadangan yang dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan PKP di Kelantan, dalam masa terdekat.
“Setakat ini belum ada cadangan untuk melaksanakan lockdown (PKP), kita sedang tunggu isyarat daripada keputusan pusat, dan sekarang kita menunggu apa sahaja arahan dan keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawat Covid-19 (PKRC), di Sekolah Menengah Kebangsaan Salor, Pasir Mas, Kelantan hari ini.
Yang turut hadir dalam lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata kadar peningkatan kes positif COVID-19 di Kelantan semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini dengan angka kes positif harian yang tinggi.
Beliau berkata keadaan COVID-19 di Negeri Kelantan masih tidak menunjukkan sebarang trend penurunan, malah pertambahan setiap hari dan menunjukkan masih tiga angka.
“Kita sekali lagi mengharapkan masyarakat benar-benar dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kerana itu satu cara yang telah diakui oleh dunia dalam mengurangkan wabak ini dari terus merebak, katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.