2 MEI: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melahirkan kebimbangan berikutan kadar penggunaan katil rawatan kritikal (ICU) COVID-19 di Lembah Klang secara keseluruhannya mencapai 90 peratus hari ini.
Malah, Noor Hisham berkata enam buah hospital yang mempunyai katil ICU khusus bagi merawat pesakit COVID-19 dilaporkan melebihi ambang amaran iaitu 70 peratus penggunaan.
Menurut beliau, ia membabitkan Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, malah ada di antaranya telah pun menghampiri 100 peratus.
‘Sebanyak 80 katil rawatan kritikal diwujudkan secara ‘repurposed‘ di hospital sekitar Lembah Klang bagi memenuhi keperluan peningkatan jumlah pesakit COVID-19 yang kritikal.
“Jumlah katil berkenaan juga akan ditambah mengikut keperluan di wad biasa yang ditukar fungsi kepada katil kritikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan itu KKM juga, membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.
Mengulas lanjut beliau berkata KKM akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal.
“Ini termasuk penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui,” katanya.
Beliau turut menyatakan kebimbangan sekiranya trend peningkatan kes COVID-19 ini berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap kritikal dan akan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.
Berikutan itu Dr Noor Hisham menyeru rakyat di negara ini mematuhi semua SOP bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.