2 MEI: Kes pertama varian COVID-19 dari India dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1, dikesan di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata mutasi itu dikenal pasti hasil analisis keseluruhan jujukan genom (WGS), selepas saringan dibuat di Lapangan Terbang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, kes mutasi berganda itu yang difahamkan menyumbang hampir 60 peratus daripada penularan secara besar-besaran di India ketika ini, dikesan menerusi seorang warga republik itu.
“Kementerian Kesihatan (KKM), mengesan kes pertama varian India, dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1 menerusi kemasukan seorang kerakyatan India.
“Pengesanan ini dibuat melalui saringan dijalankan di KLIA,” katanya kepada PN BBC Portal, hari ini.
Dr Adham berkata, hasil analisis WGS itu turut melaporkan kewujudan varian Afrika Selatan VOC B.1.351, masing-masing di Perak dan Kelantan, membabitkan kluster ketara dengan 10 kes di setiap negeri berkenaan, manakala KKM sedang mengesan tujuh kes varian sama di Selangor.
“Pada masa sama, terdapat tambahan tiga varian United Kingdom (UK) B.1.1.7 membabitkan dua kes di Selangor dan 1 kes di Sandakan, Sabah yang terdiri daripada warga asing.
“Ini juga laporan pertama berhubung UK B.1.1.7 dalam kalangan individu tanpa sejarah perjalanan ke luar negara dan berkemungkinan berlaku penularan tempatan,” katanya.