3 MEI : Walaupun melihat jawatan yang disandang itu merupakan satu bebanan dan tanggungjawab yang besar, Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani beriltizam untuk melaksanakan tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya.
Acryl Sani berkata, beliau akan memastikan kesinambungan tugas termasuk segala dasar yang telah ditetapkan akan terus dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara sentiasa terjamin.
“Perasan saya ikhlas seolah-olah satu beban berat diletakkan kedua-dua bahu saya dan saya percaya saya tidak mampu bersendirian untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
“Justeru itu, saya yakin dan meletakkan kepercayaan tinggi kepada pegawai atasan, barisan ketua-ketua polis negeri dan daerah bersama berganding bahu dalam meneruskan tugasan-tugasan yang masih belum diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas majlis serah tugas Ketua Polis Negara dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep), hari ini.
Terdahulu, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada hari ini menyerahkan tugas dan Tongkat Kuasa Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis serah terima tugas jawatan nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.
Acryl Sani akan memulakan tugas sebagai Ketua Polis Negara berkuat kuasa Selasa.
Pelantikan Acryl Sani mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Tongkat Kuasa jawatan berkenaan diserahkan kepada Acryl Sani sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan.
Dalam pada itu, Hamid menegaskan beliau amat yakin dengan pengalamannya bersama pasukan PDRM serta pencapaian akademik yang dimiliki Acryl Sani mampu membawa pasukan sang saka biru ke peringkat yang lebih baik dan jitu dalam menjaga ketenteraman awam.
“Lantikan ini merupakan satu titik permulaan, satu amanah serta tanggungjawab besar yang menuntut lebih banyak pengorbanan. Saya yakin dengan pengalaman yang diperoleh sepanjang berkhidmat.
“Saya amat yakin Datuk Seri Acryl akan dapat mengemudi PDRM dengan sebaiknya dan seterusnya ketrampilan beliau juga akan memberi manfaat kepada pasukan polis,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH