3 MEI: Selepas teruk dikecam warganet kerana menghadiri majlis tahnik anak Datuk Seri Siti Nurhaliza, penceramah terkenal Ustaz Azhar Idris tampil memberi penjelasan bahawa kehadirannya hanya sekadar memenuhi undangan sahabatnya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.
Ustaz Azhar Idrus juga menafikan dakwaan netizen kononnya beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana merentas negeri untuk semata-mata menghadir majlis berkenaan, sebaliknya penceramah bebas dari Terengganu berkenaan mengesahkan beliau berada di ibu negara atas urusan kerja, sehari sebelum program terbabit berlangsung.
Tambahan pula, beliau berkata kediaman perhibur pujaan peminat seni tanah air berkenaan terletak tidak jauh daripada rumah bapa mertuanya.
Menerusi satu perkongsian video di laman Twitter @_Rezarazali, Ustaz Azhar Idrus menyatakan beliau ke majlis berkenaan selepas selesai solat sunat Terawih, pada Isnin lalu.
“Saya pergi ke sana atas undangan Datuk K (Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa) kami memang bersahabat sejak tiga tahun lalu.
“Sebelum ini dan tiga kali dia ajak datang rumah dia… sebab masa saya sakit hari itu dia melawat saya selama dua jam.
“Jadi, kali ini saya balas balik (jemputan). Salahkah saya pergi ke majlis yang kawan jemput dan doakan anak dia,” katanya yang dikenali dengan nama singkatan UAI dalam satu kenyataan hari ini.
Nama Ustaz Azhar Idrus menjadi sebutan dan kecaman netizen kerana penceramah bebas berkenaan sebenarnya menetap di Terengganu.
Difahamkan Ustaz Azhar Idrus ada menghadiri satu program keagamaan iaitu Kuliah Asar: Soal Jawab Agama Bersama Ustaz Azhar Idrus diadakan di Majlis Abu Ubaidah Al Jarrah di Taman Sri Rampai, Setapak, Kuala Lumpur, pada 25 April lalu.
Terdahulu, portal berita PNBBC melaporkan Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyanyi terkenal Siti Nurhaliza dikatakan melanggar SOP ketika menganjurkan majlis tahnik sempena kelahiran anak keduanya, Muhammad Afwa di kediamannya di Bukit Antarabangsa Ampang, Selangor, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata kertas siastan berkenaan dibuka selepas polis mengesan satu artikel berkaitan ketidakpuasan hati netizen dalam satu majlis tahnik yang diadakan oleh seorang selebriti tanah air berkenaan di kediamannya di Bukit Antarabangsa Ampang, Selangor.
Mohamad Farouk berkata artikel tersebut disiarkan didalam laman http://m.malaysiakini.com/news/573026 dan terdapat juga beberapa gambar di dalam artikel tersebut menunjukkan kehadiran beberapa orang kenamaan (VVIP) dan penceramah agama terkenal ke majlis tersebut.