3 MEI: Kes baharu COVID-19 hari ini dilaporkan menurun ke 2,500 kes, menjadikan jumlah kes kumulatif jangkitan dalam negara kini sebanyak 417,512 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, ia membabitkan 2,396 kes tempatan dan empat kes import.
Menurut beliau, Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi membabitkan 637 kes diikuti Kelantan (401) dan Sarawak (356).
“Ia diikuti Johor dengan 205 kes, Kuala Lumpur (200), Pulau Pinang (194), Kedah (103), Negeri Sembilan (97) Melaka (95), Perak (59), Sabah (57), Pahang (55), Terengganu (38) dan Putrajaya (3), sementara Labuan serta Perlis tidak merekodkan sebarang kes baharu.
“Terdapat 18 kes kematian pada hari ini yang melibatkan tujuh kes di Selangor, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3), masing-masing dua kes di Sarawak dan Kelantan, serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Kedah, Johor, dan Sabah.
“Sebanyak 17 kes kematian melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara,” katanya menerusi menerusi kenyataan rasminya berkenaan perkembangan laporan harian COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu jumlah kes sembuh baharu dilaporkan sebanyak 2,068 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat pandemik itu melonjak kepada 385, 208 atau 92. 26 peratus daripada keseluruhan kes.
“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 352 orang termasuk dan 186 yang memerlukan bantuan pernafasan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes aktif sebanyak 30,753 atau bersamaan 7.37 peratus” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham memberitahu terdapat sembilan kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini melibatkan masing-masing tiga kluster di komuniti dan kluster tempat kerja dan dua kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan KPM, serta satu kluster pusat tahanan.
Tambah beliau, kluster baharu yang terlibat ialah Lorong Galing, Pahang; Jalan Dahlia Lima, Melaka; Bunga Raya, Kedah; Industri Mahkota 2, Selangor dan Jalan Jati Industri di Johor.
“Selain itu, Tok Has,Terengganu; Jalan Bandar, Johor; Indera Mahkota Dua, Pahang dan Jalan Meru Utama di Perak merupakan juga kluster baharu yang dikesan hari ini,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham berkata sebanyak 1291 kluster telah tamat termasuk tujuh kluster yang tamat pada hari ini.
Beliau berkata, kluster tersebut adalah Kluster Kalindukan, Kluster Merinding, Kluster Tanjung Genting, Kluster Bunga Tanjung Bendahara, Kluster DTI Jalan Duta, Kluster Jalan Dahlia 22, dan Kluster Taman Komersial.
“Jumlah kluster aktif kini adalah 398 kluster manakala bagi jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini 74 kluster.
“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Jalan Padang Tembak (85 kes), Kluster Sebatu (47 kes), dan Kluster Kampung Batu Sembilan (37 kes), “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH