3 MEI: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) hari ini mengumumkan langkah drastik mewajibkan semua bekalan daging yang diimport ke Malaysia akan diuji sampelnya terlebih dulu sebelum boleh dipasarkan kepada orang ramai.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, berkata tindakan itu tiada kaitan dengan usaha untuk menyekat kemasukan bekalan daging dari India biarpun negara itu kini berdepan dengan lonjakan kes COVID-19.
Katanya, Malaysia mempunyai sistem pengimportan yang sudah dilaksanakan sejak dulu lagi iaitu hanya mengambil bekalan daging di rumah sembelih yang diluluskan kerajaan.
“Berlainan dengan negara luar, mereka mengambil bekalan daging disediakan pihak berkuasa di negara berkenaan, manakala Malaysia pula hanya ambil bekalan daging dari rumah sembelih yang diluluskan saja.
“Apabila bekalan daging itu sampai di pintu masuk Malaysia, JPV bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) akan mengambil sampel daging atau semua produk berasaskan ternakan untuk diuji di makmal milik JPV,” katanya selepas Majlis My Best Buy Aidilfitri, di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), hari ini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid.
Kelmarin, Kemboja memutuskan untuk melarang import daging beku dan produk daging dari India sebagai usaha bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di negara rantau Asia Tenggara.
Larangan itu berkuat kuasa serta-merta dan Kemboja akan mengumumkan kemudian apabila ia ditarik balik.
Tindakan tersebut diambil berikutan India melaporkan lonjakan kes jangkitan COVID-19 dan kes kematian sejak kebelakangan ini.
Dr Norlizan berkata, masyarakat tidak perlu bimbang dengan bekalan daging import dari India kerana secara saintifiknya virus COVID-19 tidak boleh merebak dalam sel haiwan.
“Ia tidak akan jadi penyakit kepada haiwan kerana virus itu tidak boleh menjangkiti haiwan yang lain, berlainan dengan sel dalam badan manusia. Jika berlaku, ia berkemungkinan melalui pencemaran ketika proses pengendalian daging atau ketika pembungkusan dan pengangkutan.
“Dari Januari hingga April lalu, sebanyak 148 sampel daging sudah diuji dan semuanya adalah negatif,” katanya.
Dr Norlizan berkata, Malaysia mengimport 100,000 tan daging dari India setahun dan pengambilan sampel daging yang memasuki negara ini adalah satu proses biasa dilakukan pihaknya.
“Sebelum ini kita lakukan ujian untuk kontaminasi bakteria dan sebagainya, tetapi selepas pandemik COVID-19 yang melanda negara kita lakukan ujian untuk kesan virus berkenaan. Kita bukan lakukan pada daging yang diimport dari India saja, tetapi semua negara termasuk Australia dan New Zealand,” katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.