3 MEI : Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan sama ada perlu mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) atau tidak susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Dr Md Yusnan Yusof pada 30 April lalu.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub bagaimanapun berkata, buat masa ini tugas beliau hanya memaklumkan kekosongan kerusi itu kepada SPR selepas menerima sijil kematian.
“Saya ingin memaklumkan pada pagi ini, kita menerima sijil kematian Yang Berhormat Dr Md Yusnan Yusof daripada Jabatan Pendaftaran Negara. Beliau meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung.
“Mengikut Perkara 46 (5) Bahagian Pertama Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan, apabila berlaku kekosongan kerusi mana-mana DUN dalam negeri Kelantan, maka saya akan memaklumkan atau menghantar surat secara rasmi kepada SPR hari ini.
“Ia bagi memaklumkan kekosongan sesuatu kerusi dan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan itu, maka SPR perlu mengisi kekosongan itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Darulnaim, Kelantan, hari ini.
Dalam pada itu, Abdullah memaklumkan, dalam tempoh darurat itu, keputusan pilihan raya akan ditentukan oleh budi bicara SPR.
“Kalau situasi biasa (sebelum COVID-19) akan ada PRK, hal ini kerana tempoh tiga tahun masih belum sampai.
“Pada 9 Mei ini baharu cukup tempoh tiga tahun. Sepatutnya ada pilihan raya walaupun tidak cukup sembilan hari. Namun, kerajaan negeri serahkan kepada SPR sama ada hendak mengadakan pilihan raya atau tidak kerana sekarang tempoh darurat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, DUN Kelantan akan menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi DUN Melor itu kepada SPR pada Isnin.
Abdullah memberitahu, pemakluman itu akan dilakukan oleh Setiausaha DUN Kelantan di Pejabat SPR Kota Bharu menerusi serahan tangan.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Md Yusnan mewakili Pas memenangi kerusi DUN Melor dengan majoriti 647 undi.
Beliau meraih 7,820 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Azmi Ishak yang mendapat 7,173 undi dan calon Pakatan Harapan (PH) Abdul Aziz Abdul Kadir 2,122 undi.