4 Mei: Enam daripada sembilan daerah di Selangor, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 12 hari, bermula Khamis ini akibat peningkatan kes COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata daerah itu adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
Katanya, tiga daerah, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor, kekal berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti sebelum ini.
“Keputusan ini dilaksanakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas mengambil kira cadangan dikemukakan Kerajaan Selangor menerusi satu mesyuarat bersama, selepas berlaku peningkatan mendadak kes dan bagi memastikan rantaian penularan jangkitan COVID-19 diputuskan.
“Sejak 20 April hingga 4 Mei lalu, kes harian COVID-19 menunjukkan peningkatan dan menjadi negeri paling tinggi mencatatkan pandemik itu dalam tempoh terbabit.
“Berikutan PKP di enam daerah itu yang bermula 6 hingga 17 Mei, rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan, kecuali membabitkan kes kecemasan, kematian dan tugasan rasmi,” katanya pada sidang media khas COVID-19, hari ini.